Jumaat, 12 Julai 2019

Pasukan Gerakan Am (PGA)




Ibu Pejabat, Briged dan Batalion yang terdapat didalam Pasukan Gerakan Am

Pasukan Gerakan Am (PGA) merupakan salah satu cawangan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pasukan ini merupakan elemen tempur PDRM bagi mengendalikan operasi punitif bertujuan untuk memberi tekanan terhadap sebarang bentuk pakatan bersenjata, kegiatan-kegiatan subversif, pemberontakan dan ancaman yang berlaku di dalam negara Malaysia. Pasukan ini berpergerakan tinggi dengan kebolehan untuk bergerak dalam apa juga keadaan persekitaran.


Sejarah Pasukan Gerakan Am


Pasukan Gerakan Am yang dulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutantelah ditubuhkan sejak 58 tahun yang lalu. Keperluan bagi penubuhannya ialah ekoran peranan besar yang dimainkan oleh PDRM dalam menerajui perjuangan menentang insurgensi yang dilancarkan oleh pengganas komunis semasa Darurat 1948 – 1960 dan 1969 – 1989. Penubuhannya adalah sebagai tindak balas dan memenuhi keperluan pasukan polis dalam merealisasikan strategi peperangan sekatan menyeluruh terhadap gerila komunis menerusi Rancangan Briggs.

Rancangan Briggs yang dikuatkuasakan pada 1hb Jun 1950 oleh Sir Harold Briggs menjadi satu titik permulaan terhadap dasar pembesaran pasukan polis yang drastik yang mana antara lain menyaksikan satu unit khas ditubuhkan dan dilatih khas dalam taktik peperangan gerila bagi menangani insurgensi yang dilancarkan oleh gerila komunis itu.

Pasukan ini memberi tumpuan khusus dalam taktik peperangan gerila malah sangat efektif sekiranya digerakkan dalam jumlah keanggotaan yang kecil. Di awal penubuhannya, ia dikenali sebagai ‘Jungle Squad’ yang kemudiannya ditukar kepada ‘Jungle Company’ sebelum disusun semula pada tahun 1953 dengan nama baru – Pasukan Polis Hutan (PPH).

Penyusunan semula yang dilakukan itu bertujuan menetapkan dan menentukan garis panduan kepada peranan-peranan yang harus dijalankan oleh anggota-anggota PPH antaranya seperti dikehendaki membekalkan keanggotaan bagi kubu-kubu hutan (jungle fort), membekalkan anggota bagi tugas operasi menentang pengganas komunis di kawasan sempadan Malaysia – Thailand dan juga untuk menjalankan operasi-operasi tertentu dalam rangka keselamatan Persekutuan Tanah Melayu. Semasa konfrontasi melibatkan ketenteraan antara Malaysia-Indonesia, pasukan ini turut melibatkan diri bersama pasukan tentera Persekutuan Malaysia dan British dalam mencegah penyusupan pasukan-pasukan tentera Indonesia pimpinan Presiden Soekarno di kawasan Sabah dan Johor. Dalam hal ini, kemahiran dan kewibawaan yang telah dipamerkan oleh pasukan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan