Jumaat, 12 Julai 2019

Penugasan PGA


Pasukan Gerakan Am diatur gerak, dilengkapkan dan dilatih khusus untuk sediamelaksanakantugas semasa aman dan darurat. Antara tugas semasa aman meliputi tugas mencari dan memusnahkan penjenayah yang bergerak atau bersembunyi di hutan belantara, meronda sempadan, pantai, pulau-pulau di perairan negara dan kewasan yang terpencil, luas dan kurang penduduk bagi tujuan menghalang sebarang bentuk kemasukan secara haram dan memberi perlindungan keselamatan kepada rakyat yang terasing di pedalaman.

Ia juga membantu Polis Cawangan Tugas Am dalam tugas-tugas mengawal ketenteraman awam, pencegahan jenayah, mengepung dan memeriksa rumah – bangunan dan semasa penugasan yang memerlukan keanggotaan yang ramai. Semasa darurat pula, ia akan ditugaskan bagi menjalankan operasi menindas pemberontakan bersenjata dan subversif di dalam negara, memberi perlindungan kepada pusat-pusat kediaman dan perindustrian serta tempat-tempat penting dan strategik daripada serangan pengganas dan pemberontak bersenjata, menjalankan operasi menyekat makanan dan bekalan daripada jatuh ketangan musuh dan membantu Angkatan Tentera Malaysia dalam menghapuskan musuh dalam negara.

Walaupun pada dasarnya PGA disusun, dilengkapkan dan dilatih terutamanya untuk peranan para-militeri di hutan rimba dan kawasan luar bandar, tetapi ia juga berkebolehan dalam membantu atau menjalankan tugas di pekan dan bandar. Ini kerana setiap anggota PGA telah dilatih dan didoktrinkan sebagai anggota polis biasa terlebih dahulu sebelum ia boleh diterima sebagai seorang anggota PGA. Anggota tersebut dikehendaki menjalani dan menamatkan kursus asas peperangan hutan dengan jayanya sebelum disahkan menjadi seorang anggota infantri PGA. Ini bermaksud seorang anggota infantri PGA bukan sahaja berfungsi sebagai seorang anggota infantri tetapi boleh juga ditugaskan untuk melaksanakan penugasan anggota polis tugas am sekiranya diperlukan.

Dalam keadaan yang mana ketenteraman negara terancam, PGA pada lazimnya akan menjalankan tugas sepertimana yang dijalankan oleh pasukan tentera. Statusnya sebagai salah satu cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia juga agak unik kerana dalam keadaan-keadaan tertentu yang mana atur gerak oleh pasukan tentera mungkin boleh menimbulkan ketegangan atau provokasi, PGA akan dikerahkan untuk mengambil alih kedudukan-kedudukan strategik Malaysia di sempadan.

Selain itu juga, PGA turut membekalkan unit-unit pencegah rusuhan (PORU) yang terlatih apabila diperlukan bagi membantu penugasan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Ini kerana setiap anggota PGA turut dilatih bagi penugasan mencegah rusuhan.

Sekalipun berupaya memberikan bantuan yang pelbagai dalam penugasan kepolisan, tetapi bagi memastikan bahawa mutu pasukan ini kekal sebagai satu pasukan yang terlatih khusus dan sedia diatur gerak dalam tempoh singkat maka tugas-tugas yang dijalankan oleh pasukan ini dihadkan kepada tugas bantuan khas, darurat dan luar biasa. Selain itu juga, pasukan ini berkebolehan untuk diatur gerak dalam semua situasi dan keadaan muka bumi selain berkebolehan melaksanakan tugas peperangan khas (special warfare) di hutan, perairan dan bandar serta suasana pertempuran jarak dekat (CQB) selain kemahirannya dalam peperangan gerila (CIW).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan