Pasukan
Gerakan Am diatur gerak, dilengkapkan dan dilatih khusus untuk
sediamelaksanakantugas semasa aman dan darurat. Antara tugas semasa aman
meliputi tugas mencari dan memusnahkan penjenayah yang bergerak atau
bersembunyi di hutan belantara, meronda sempadan, pantai, pulau-pulau di
perairan negara dan kewasan yang terpencil, luas dan kurang penduduk bagi
tujuan menghalang sebarang bentuk kemasukan secara haram dan memberi
perlindungan keselamatan kepada rakyat yang terasing di pedalaman.
Ia juga
membantu Polis Cawangan Tugas Am dalam tugas-tugas mengawal ketenteraman awam,
pencegahan jenayah, mengepung dan memeriksa rumah – bangunan dan semasa
penugasan yang memerlukan keanggotaan yang ramai. Semasa darurat pula, ia akan
ditugaskan bagi menjalankan operasi menindas pemberontakan bersenjata dan
subversif di dalam negara, memberi perlindungan kepada pusat-pusat kediaman dan
perindustrian serta tempat-tempat penting dan strategik daripada serangan
pengganas dan pemberontak bersenjata, menjalankan operasi menyekat makanan dan
bekalan daripada jatuh ketangan musuh dan membantu Angkatan Tentera Malaysia
dalam menghapuskan musuh dalam negara.
Walaupun pada
dasarnya PGA disusun, dilengkapkan dan dilatih terutamanya untuk peranan
para-militeri di hutan rimba dan kawasan luar bandar, tetapi ia juga
berkebolehan dalam membantu atau menjalankan tugas di pekan dan bandar. Ini
kerana setiap anggota PGA telah dilatih dan didoktrinkan sebagai anggota polis
biasa terlebih dahulu sebelum ia boleh diterima sebagai seorang anggota PGA.
Anggota tersebut dikehendaki menjalani dan menamatkan kursus asas peperangan
hutan dengan jayanya sebelum disahkan menjadi seorang anggota infantri PGA. Ini
bermaksud seorang anggota infantri PGA bukan sahaja berfungsi sebagai seorang
anggota infantri tetapi boleh juga ditugaskan untuk melaksanakan penugasan
anggota polis tugas am sekiranya diperlukan.
Dalam keadaan
yang mana ketenteraman negara terancam, PGA pada lazimnya akan menjalankan
tugas sepertimana yang dijalankan oleh pasukan tentera. Statusnya sebagai salah
satu cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia juga agak unik kerana dalam
keadaan-keadaan tertentu yang mana atur gerak oleh pasukan tentera mungkin
boleh menimbulkan ketegangan atau provokasi, PGA akan dikerahkan untuk
mengambil alih kedudukan-kedudukan strategik Malaysia di sempadan.
Selain itu
juga, PGA turut membekalkan unit-unit pencegah rusuhan (PORU) yang terlatih apabila
diperlukan bagi membantu penugasan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Ini
kerana setiap anggota PGA turut dilatih bagi penugasan mencegah rusuhan.
Sekalipun
berupaya memberikan bantuan yang pelbagai dalam penugasan kepolisan, tetapi
bagi memastikan bahawa mutu pasukan ini kekal sebagai satu pasukan yang
terlatih khusus dan sedia diatur gerak dalam tempoh singkat maka tugas-tugas
yang dijalankan oleh pasukan ini dihadkan kepada tugas bantuan khas, darurat
dan luar biasa. Selain itu juga, pasukan ini berkebolehan untuk diatur gerak
dalam semua situasi dan keadaan muka bumi selain berkebolehan melaksanakan
tugas peperangan khas (special warfare) di hutan, perairan dan bandar serta
suasana pertempuran jarak dekat (CQB) selain kemahirannya dalam peperangan
gerila (CIW).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan